"I don't need a cloak to be invisible."
Tiap kali mereka berkata-kata, aku mencuba untuk mendengar. Ada masanya yang aku leka, ada masanya yang aku tidak sedar. Aku tidak sedar bahawa aku telah mengabaikan seseorang itu. Tetapi sekurang-kurangnya selepas itu, aku sedar akan perbuatan itu. Dan aku akan mencuba untuk memperbaiki diri aku.
Tetapi seringkali aku berfikir, jika asyik aku yang harus sedar dan mengalah dan mendengar mereka, siapa yang akan sedar dan mengalah untuk mendengar apa yang ingin aku katakan? Siapa yang bersedia untuk mendengar segala yang harus aku luahkan? Tiada sesiapa. Kerana sesungguhnya hidup aku tiada bezanya dengan hidup dalam keadaan halimunan. Tiada.
Apa salahnya untuk sesekali berhenti dan memberi ruang untuk aku berkata-kata? Apa salahnya? Adakah aku tidak berhak untuk didengari? Aku hanya inginkan sedikit kasih sayang. Ya, aku tahu pasti ibu bapaku menyayangiku. Tetapi kenapa aku tidak merasakan begitu? Aku bersyukur kerana telah dijaga dan diberi kemudahan untuk hidup, untuk belajar, dan sebagainya. Tetapi apa nilainya semua itu, jika aku bagaikan tiada peluang untuk berkongsi masalah, untuk menceritakan segala yang ingin aku kongsikan? Apa nilainya semua itu, jika aku tidak diberi perhatian yang secukupnya. Ya, memang mereka penat dan letih, menjaga dan mencari duit. Tetapi ingat, duit tidak boleh membeli kebahagiaan dan kegembiraan.
Hanya dengan kewujudan kasih sayang, kebahagiaan itu dapat dikecapi.
Assalamualaikum dan terima kasih ~~~
-A.Q-
No comments:
Post a Comment